Saturday, February 2, 2008

cerpen mawar merah...........bacalah

> Mawar Merah
>
>
>
> Sudah sebulan aku terlantar di atas katil hospital ini. Rasa jemu
> menguasai diri. Tapi apa yang mampu aku lakukan. Mungkin di sinilah
> tempatku hingga ke akhir hayat.
> Aku begitu rindu untuk melihat dan menikmati dunia luar. Ada waktunya
> aku rasa ingin pergi saja dari dunia yang fana ini.
> Aku sudah hilang semangat dan keinginan untuk meneruskan hidup ini.
>
>
>
> " Jangan berfikiran macam tu anakku. Ingatlah pada Tuhan."
>
>
>
> Kata-kata ibu itu terngiang-ngiang di cuping telinga aku.
> Mungkin kata-kata itu jugalah yang mematahkan bisikan syaitan di hati
> aku ini. Tapi aku ini manusia biasa. Susah untuk menerima musibah
> dengan hati yang tenang. Bagi aku sesiapa pun akan berfikiran begitu
> jika mereka disahkan mengidap barah. Ya, aku disahkan mengidap barah
> otak.
>
>
>
> Doktor kata aku bernasib baik kerana penyakit aku itu dapat dikesan di

> peringkat awal. Tapi aku tidak mempercayainya.
> Sudah berapa ramai yang mengidap penyakit ini tidak dapat bertahan
> lama. Bukankah penyakit ini antara penyakit yang paling ditakuti
> manusia. Tapi sejak kebelakangan ini pandangan aku terhadap hidup mula

> berubah. Aku mula bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Aku mesti
> kuatkan semangat untuk melawan barah yang kini mula bersarang dalam
> diri aku ini.
> Semuanya
> kerana kiriman bunga dan kad yang aku terima sejak dua minggu lalu.
>
>
>
> " Memang ramai yang telah kecundang, dan sedikit yang berjaya
> mengatasinya, jadi masukkanlah dirimu dalam yang sedikit itu."
>
>
>
> Begitulah kata-kata yang tertera dalam kad kecil yang aku terima
> bersama jambangan bunga mawar merah pagi tadi. Begitu bermakna sebaris

> ayat itu bagi menaikkan semangat aku. Tapi hingga kini aku masih
> tertanya-tanya siapakah pengirimnya.
> Tiap kali bunga itu aku terima tidak pernah disertakan nama
> pengirimnya. Pernah juga aku bertanya pada jururawat yang bertugas
> menjaga aku, siapakah pengirim bunga itu.
>
>
>
> "Siapa yang hantar tak penting... yang penting Encik Azlan mesti tabah

> dan mempunyai semangat untuk meneruskan hidup."
>
>
>
> Jawapan itu sajalah yang keluar dari mulut jururawat yang aku kenali
> sebagai Lina. Dia seorang jururawat yang cantik dan manis. Tetapi
> bukan itu yang aku anggap menarik pada dirinya.
> Budi bahasa, tingkah laku dan tutur katanya yang bersopan itu
> membuatkan hati aku menyimpan perasaan terhadapnya. Tapi bagaimana
> untuk aku meluahkan apa yang aku rasa ini terhadapnya. Tidak mungkin
> dia akan menerima lelaki seperti aku. Seorang lelaki yang sedang
> bergelut dengan mautnya sendiri.
> Bila-bila masa saja aku akan pergi meninggalkan dia.
>
>
>
>
> " Ajal, maut, jodoh pertemuan, semuanya itu dalam ketentuan Tuhan."
>
>
>
> Kata-kata itu bagaikan meniupkan semangat dalam diri aku untuk
> mendekati dirinya. Tapi hingga kini aku masih tidak berani untuk
> menyatakan apa terpendam dalam lubuk hati aku ini. Aku bimbang hanya
> aku yang bertepuk sebelah tangan. Tapi dari cara dia melayan aku, aku
> dapat rasakan mungkin dia juga ada menyimpan perasaan terhadap aku.
>
>
>
> Ah! Perasan pulak aku. Bukankah itu sudah tugasnya.
> Melayan setiap pesakit dengan baik. Lagipun apalah yang
> hendak diharap oleh seorang wanita yang cantik sepertinya itu
> pada lelaki yang menderita sakit ini.
>
>
>
> "Lelaki yang hebat adalah lelaki yang berani mengatasi
> ketakutan dalam dirinya sendiri."
>
>
>
> Kad yang aku terima dua hari lepas mengungkapkan kata-kata
> sedemikian. Kata-kata itu bagaikan mencabar kelelakianku.
> Apakah aku mesti memecahkan tembok ego aku semata-mata kerana
> seorang perempuan.
>
>
>
> Hari ini emak datang lagi melawat aku. Semenjak aku terlantar
> di hospital tidak pernah sehari pun emak lupa untuk melawat
> aku. Walaupun penat bekerja tapi emak tetap singgah selepas
> habis waktu pejabat. Emaklah tempat aku menumpang dan
> mencurahkan kasih sayang. Aku tak punya ayah seperti orang
> lain. Ayah meninggal sewaktu aku berusia tujuh bulan dalam
> kandungan emak. Emak hidup tersisih dari keluarganya kerana
> perkahwinannya dengan ayah tidak direstui. Begitulah cerita
> yang aku dengar dari mulut emak.
>
>
>
> " Kekuatan mental dapat mengalahkan segala cabaran di dunia."
>
>
>
> Mungkin kata-kata pada kad yang pernah aku terima itu sesuai
> untuk menyatakan ketabahan emak. Emaklah yang bersusah payah
> memelihara dan membesarkan aku.
> Semuanya emak tanggung seorang diri. Begitu besar pengorbanan
> seorang ibu. Dalam diam-diam aku mendoakan kesejahteraan dan
> kebahagiaan emak. Tapi bahagiakah emak bila anak harapannya
> ini bergelut dengan maut. Aku menunjukkan bunga dan kad yang
> aku terima hari ini pada emak. Tiap kali emak datang dia
> pasti akan melihat bunga dan kad yang aku terima. Emak juga
> bagaikan tidak kisah siapa pengirim bunga itu. Mungkin kerana
> kehadiran bunga dan kad itu memberikan semangat dan kekuatan
> pada aku untuk meneruskan hidup ini. Sememangnya pandangan
> aku terhadap hidup kini mula berubah sejak kehadiran kiriman
> bunga itu.
>
>
>
> " Biarlah dia tak mengenalkan dirinya. Asalkan kehadiran
> bunga dan kad ni dapat mengembalikan semangat anak emak ni,
> emak dah rasa cukup bersyukur."
>
>
>
> " Mungkin Cik Lina yang hantar tak mak?"
>
>
>
> Emak hanya tersenyum bila aku membuat tekaan begitu.
> Emak sememangnya seorang yang pemurah dengan senyuman.
>
>
>
>
> " Kalau Jamal benar-benar suka pada dia apa salahnya Jamal
> yang mulakan dulu."
> Emak bagaikan tahu apa yang tersirat dalam hati aku.
> Sebelum ini pun aku pernah bercerita mengenai Lina pada emak.
> Emak juga nampaknya begitu senang dengan sikap Lina. Kadang
> kala aku lihat emak berbual-bual mesra dengan Lina sebelum
> dia melangkah pulang.
> Walaupun aku tidak tahu apa butir yang mereka bualkan tetapi
> aku lihat wujud kemesraan antara mereka.
>
>
>
> " Budak Lina tu memang baik. Emak pun suka kalau Jamal
> berbaik-baik dengan dia."
>
>
>
> Kata-kata emak itu menjadi perangsang untuk aku cuba
> mendekati Lina. Kemesraan antara emak dan Lina membuatkan aku
> semakin menyakini bahawa Linalah pengirim bunga itu. Mungkin
> dia sengaja tidak mahu memberitahu aku dan dia hanya
> menyatakan pada emak sahaja. Tapi aku tidak kisah akan hal
> itu. Asalkan emak menyukai Lina dan Lina senang dengan emak,
> itu sudah cukup membahagiakan hati aku. Sebelum pulang emak
> mengusap kepala dan mencium dahi aku. Begitulah yang selalu
> dilakukannya. Sebaik sahaja dia melangkah keluar Lina pula
> masuk. Sudah masanya aku makan ubat.
> Dia menghulurkan salam pada emak diiringi senyuman manis
> dibibirnya. Begitu bersopan santun tingkah lakunya. Emak
> meminta diri untuk pulang. Lina hanya menganggukkan kepala
> dan datang menghampiri aku.
>
> Dia tersenyum pada aku. Senyuman itu sungguh manis pada
> pandangan aku.
>
>
>
> "Cik Lina dah ada boyfriend?"
>
>
>
> Entah mengapa tiba-tiba kata-kata itu begitu mudah meluncur
> dari bibir aku. Lina tergamam dengan soalan aku itu. Dia
> memandang tepat ke wajah aku. Aku melarikan pandangan. Terasa
> bersalah pula menanyakan soalan begitu padanya. Dia
> menghulurkan ubat pada aku. Aku menyambutnya dengan serba
> salah. Soalan aku masih belum dijawab. Tiba-tiba dia duduk di
> sisi katil aku.
>
>
>
> "Dulu ada, tapi...."
>
>
>
> Kata-katanya terputus di situ. Aku lihat ada matanya
> bergenang. Aku jadi serba salah.
>
>
>
> " Maafkan saya Cik Lina.... kalau-kalau soalan saya tu
> menyinggung perasaaan Cik Lina."
>
>
>
> Dia tersenyum sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.
> Air mata yang beberapa titis mengalir di pipi dikesatnya
> dengan hujung jari. Dia tetap kelihatan manis walaupun dia
> berwajah murung. Itulah yang semakin menambat hati aku kepada
> gadis ini.
>
>
>
> " Encik Jamal tak bersalah. Semuanya itu suratan takdir".
>
>
>
> Rupa-rupanya dia telah kehilangan tunang yang dikasihinya
> setahun yang lalu. Tunangnya meninggal dunia kerana serangan
> barah. Ya, barah. Sama seperti aku. Tapi apa yang dikesalinya
> ialah sikap tunangnya itu.
> Tunangnya tidak mahu berubat dan hanya membiarkan penyakitnya
> itu menguasai dirinya. Jika dia berubat kemungkinan dia masih
> hidup lagi hingga kini kerana menurut doktor penyakitnya itu
> masih di peringkat awal dan ada harapan untuk sembuh. Sudah
> puas Lina memujuk tunangnya tetapi hampa kerana tunangnya itu
> sudah hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Apa yang
> ada dalam fikirannnya hanyalah kematian.
>
>
>
> Aku begitu simpati mendengar cerita Lina itu. Mungkin itulah
> yang mendorong dia mendekati aku. Dari ceritanya itu memang
> sahlah dia yang menghantar kiriman bunga kepada aku. Tetapi
> aku tidak berani untuk bertanya kerana bimbang dia akan
> tersinggung. Walau apa pun aku sebenarnya begitu senang
> dengan kehadiran bunga dan kad itu.
>
>
>
> " Mereka yang gembira akan menjadikan orang sekililingnya
> juga gembira."
>
>
>
> Aku teringat kata-kata pada kad yang pernah aku terima.
> Kata-kata itu memang tepat untuk Lina. Ini menyakinkan aku
> memang dialah pengirim bunga dan kad itu.
> Memang semenjak dia menjaga aku, dia akan cuba membuat aku
> rasa gembira. Kadang-kala dia akan bercerita kisah lucu untuk
> membuat aku ketawa. Senyumannya pun tidak pernah lekang dari
> bibirnya. Kegembiraan yang terpancar di wajahnya turut
> menggembirakan aku.
> Cuma kali ini ada kesedihan terpalit di wajahnya.
> Mungkin
> kerana aku mengungkit kisah silam yang menyayat hatinya itu.
>
>
>
> " Terima kasih untuk bunga dan kad ini."
>
>
>
> Aku cuba menduga reaksi Lina. Dia memandang aku dengan hairan.
>
>
>
> " Kenapa berterima kasih dengan saya pula?"
>
>
>
> " Terima kasih sebab pagi-pagi lagi dah hantarkannya pada saya."
>
>
>
> " Ooo... pasal itu. Kan setiap hari memang saya yang
> hantarkan untuk Encik Jamal."
>
>
>
> " Tapi.... saya musykillah.. . kenapalah sampai sekarang dia
> tak memperkenalkan identitinya. "
>
>
>
> " Kalau Encik Jamal tahu pun... Encik Jamal nak buat apa?"
>
>
>
> " Saya nak ucapkan terima kasih dan kalau boleh saya nak cium
> tangan dia."
>
>
>
> Pipi Lina jadi merah padam mendengar kata-kata aku itu. Dia
> tersenyum malu.
>
>
>
> Dia membetul-betulkan selimut aku dan berlalu keluar.
> Aku dapat merasakan yang dia menyembunyikan sesuatu dari aku.
> Aku merasa hairan kenapa dia masih tidak mahu mengaku yang
> dialah pengirim bunga dan kad itu.
> Tapi dari reaksi dan senyumannya tadi aku sudah mendapat
> jawapannya. Biarlah dia tidak mahu menyatakan
>
> secara terus terang kerana aku yakin suatu hari nanti saat
> yang aku nantikan itu pasti akan tiba.
>
>
>
> Keesokannya emak datang pagi-pagi lagi melawat aku.
> Aku rasa hairan. Dan yang lebih menghairankan aku emak datang
> membawa bersama bunga dan kad.
> Selalunya Lina yang menghantarkan kiriman bunga itu kepada aku.
>
>
>
> " Tadi ada kawan Lina kat kaunter tu suruh emak hantarkan
> bunga ni pada kau."
>
>
>
> " Kenapa bukan Lina sendiri yang hantarkan?"
>
>
>
> " Lina tak datang hari ni.... bercuti... ada hal katanya."
>
>
>
> " Mak tak kerja ke hari ni?"
>
>
>
> " Kerja... tapi emak ada kerja luar sikit... tu yang emak
> singgah pagi-pagi kat sini."
>
>
>
> Emak menghulurkan jambangan bunga itu kepada aku. Aku dengan
> segera menyambutnya dan membaca kad yang disertakan
> bersamanya. Masih juga tiada dituliskan nama pengirimnya.
> Hanya kata-kata perangsang yang tertera di atasnya. Emak
> memandang aku bagaikan tidak sabar-sabar untuk sama-sama
> mengetahui apa pula yang ditulis kali ini.
>
>
>
> " Seseorang yang sakit tidak semestinya mendahului seseorang
> yang sihat. Yakinlah pada keupayaan diri sendiri walaupun
> tanpa sesiapa di sisi. Kasih pada manusia tak sampai ke mana,
> kasih pada Tuhan membawa ke syurga."
>
>
>
> Aku kehairanan dengan kata-kata yang tertera pada kad itu.
> Kenapa begitu lain sekali ucapannya. Tidak seperti yang
> selalu aku terima. Adakah Lina akan meninggalkan aku. Apakah
> sebenarnya yang terjadi pada dirinya. Emak mengambil kad dari
> aku itu dan membacanya. Kemudian dia memandang wajah aku
> seolah-olah bertanya apa yang merunsingkan aku.
>
>
>
> " Betul ke Lina kata dia cuti mak?"
>
>
>
> " Itulah yang kawan dia cakap pada mak... ehh...
> kenapa dengan kau ni Jamal?"
>
>
>
> " Tak ada apa-apa mak."
>
>
>
> " Oooo... kau rindu pada Lina ya?"
>
>
>
> Usikan emak itu tidak sedikit pun meredakan kerunsingan aku.
> Malah aku semakin bimbang. Aku bimbang ada sesuatu yang
> menimpa Lina. Kata-kata yang ditulis dalam kad itu bagaikan
> menceritakan sesuatu yang buruk bakal terjadi pada diri Lina.
> Kenapa dia cuti secara tiba-tiba sahaja. Emak meminta diri
> dulu kerana dia ada kerja yang perlu diuruskan. Emak
> menasihati aku supaya berehat dan jangan terlalu memikirkan
> tentang Lina. Seperti biasa emak mengusap kepala dan mencium
> dahi aku. Aku rasa sungguh bahagia diperlakukan seperti itu.
> Sambil memegang erat tangan aku emak membisikkan sesuatu ke
> telinga aku.
>
>
>
> "Emak akan sentiasa berada di sisi Jamal."
>
>
>
> Aku begitu terharu kata-kata emak itu. Rasanya ingin aku
> memeluk dan mencium dahi emak tetapi emak telah berlalu
> keluar. Tiba-tiba aku rasa bosan dan ingatan aku pada Lina
> semakin bertambah kuat. Sehari tidak melihat wajah Lina aku
> rasa dunia ini kosong. Apakah ini yang dikatakan cinta. Dalam
> hati aku berdoa semoga tiada apa-apa yang berlaku pada Lina.
> Aku rasa tidak sabar untuk menanti hari esok. Aku harap Lina
> akan kembali bertugas esok.
>
>
>
> Doa aku itu dimakbulkan Tuhan. Pagi esoknya aku lihat Lina
> datang menghampiri aku. Hati aku berbunga riang.
> Kalau aku terdaya untuk bangun sudah pasti aku akan segera
> berlari memeluknya. Syukurlah tiada apa-apa yang menimpa diri
> gadis kesayangan aku ini. Tapi aku lihat hari ini wajah Lina
> berlainan sekali. Dia nampak
>
> tergesa-gesa menghampiri aku. Wajahnya suram. Tidak terpancar
> cahaya kegembiraan seperti yang biasa aku lihat. Apa
> sebenarnya yang terjadi.
>
>
>
> " Encik Jamal...."
>
>
>
> Ada nada sebak dalam suara itu. Lina duduk di sisi katil aku.
> Dia tunduk memandang lantai. Tidak berani dia memandang wajah
> aku. Perlahan-lahan dia memegang tangan aku. Beberapa titis
> air mata mengalir di pipi gebunya. Aku merasa begitu hairan.
>
>
>
> " Kenapa ni Cik Lina? Cik Lina ada masalah ke?"
>
>
>
> " Emak Encik Jamal dah tak ada."
>
>
>
> Aku tersentak. Tidak percaya dengan kata-kata yang terpacul
> dari mulut Lina. Wajah Lina aku tenung dengan tepat. Benarkah
> apa yang aku dengar itu. Kali ini aku rasa dunia aku
> benar-benar gelap. Tanpa aku sedari beberapa titis air mata
> mengalir dari pipi aku. Tiada lagi rasa segan silu pada Lina.
>
>
>
> " Emak Encik Jamal accident sewaktu balik kerja malam tadi."
>
>
>
> Lina menceritakan segala yang berlaku. Emak mengalami cedera
> parah. Emak sempat dibawa ke hospital dan dia meminta pihak
> hospital menghubungi Lina. Sewaktu Lina sampai di hospital
> keadaan emak semakin nazak.
> Pihak hospital berusaha menyelamatkan emak tetapi Tuhan lebih
> menyayanginya. Sebelum emak menghembuskan nafas terakhirnya
> dia sempat berpesan pada Lina supaya menjaga aku dengan baik.
> Emak juga mengharapkan aku terus berjuang untuk melawan
> penyakit aku ini. Aku begitu terharu mendengar penjelasan
> Lina. Air mata aku semakin deras mengalir.
> Lina memegang erat tangan aku.
>
>
>
> Petang itu Lina membawa aku menghadiri pengkebumian emak. Aku
> cuba menahan air mata dari mengalir. Tetapi hati lelaki aku
> ini tewas juga. Setelah semua bersurai
>
> tinggallah aku dan Lina menghadap kubur emak. Aku panjatkan
> doa untuk emak. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya.
> Aku berjanji pada diri aku untuk meneruskan hidup ini dengan
> lebih bersemangat.
>
>
>
> Sudah dua hari aku melalui hidup tanpa emak. Kesedihan masih
> menebal dalam jiwa aku. Mujur ada Lina di sisi aku. Dialah
> yang memberi kata-kata perangsang dan semangat pada aku. Tapi
> aku rasa ada sesuatu yang aneh berlaku. Ya, baru aku perasan.
> Sudah dua hari aku tidak menerima kiriman bunga dan kad dari Lina.
> Mungkin
> Lina juga bersedih dengan kematian emak dan dia lupa untuk
> melakukan rutinnya itu.
>
>
>
> " Cik Lina perasan tak?"
>
>
>
> " Perasan apa?"
>
>
>
> " Dah dua hari saya tak dapat kiriman bunga dan kad kan."
>
>
>
> Lina terdiam mendengar kata-kata aku itu. Kesedihan tergambar
> di wajahnya. Dia menghampiri aku dan memandang tepat ke wajah aku.
>
>
>
> " Encik Jamal saya ingin minta maaf pada encik Jamal."
>
>
>
> " Kenapa pulak? Cik Lina tak salah apa-apa pada saya."
>
>
>
> " Encik Jamal pernah kata nak jumpa dan ucapkan terima kasih
> pada pengirimnya. Encik Jamal juga pernah kata nak cium tangannya."
>
>
>
> " Itu pun jika tuannya benarkan."
>
>
>
> Aku cuba berjenaka dengan Lina. Tetapi tiada reaksi dari
> Lina. Malah dia pula yang menitiskan air mata.
> Aku menjadi semakin keliru. Dalam esakannya dia meneruskan
> kata-kata.
>
>
>
> " Tangan yang Encik Jamal nak cium tu dah pergi buat
> selama-lamanya. "
>
>
>
> " Emak?"
>
>
>
> Lina hanya mampu mengangguk. Ya Allah, kenapa aku tidak dapat
> menekanya dari awal lagi. Lina meminta maaf sekali lagi. Dia
> pernah cuba hendak memberitahu aku siapa pengirimnya tetapi
> dilarang oleh emak. Kata emak bunga mawar merah adalah
> lambang kekuatan dan semangat. Waktu itu aku rasa begitu
> ingin mencium tangan emak.
>
> TAMAT~
>
>
>
>
>
>

No comments: